Monday, May 28, 2012

MUKTAMAR GURU PASTI MALAYSIA 2012


Perwakilan Majlis Guru PASTI Pilih Kepimpinan Baru


CAMERON HIGHLAND: Muktamar Guru PASTI Malaysia 2012 telah dilaksanakan dengan jayanya di Century Pines Resort, Cameron Highland pada 28 Mei baru-baru ini. Ijtimak yang dihadiri oleh semua perwakilan Majlis Guru PASTI negeri-negeri seluruh Malaysia itu telah dirasmikan oleh Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Sewaktu berucap merasmikan Muktamar tersebut, Ustaz Nasrudin Hassan melahirkan penghargaan dan menyanjung tinggi peranan guru-guru PASTI yang telah banyak berkorban dan menabur bakti dalam membantu PASTI dan PAS. Penat-lelah guru-guru PASTI tersebut juga merupakan sumbangan besar mereka dalam membantu perjuangan Islam di negara ini. Beliau turut melahirkan rasa bangga atas pencapaian dan prestasi PASTI pada hari ini. Tegasnya lagi, kejayaan dan kehebatan PASTI begitu dicemburui dan dihormati oleh pelbagai pihak, termasuk kerajaan Malaysia. “Guru-guru PASTI perlu lebih gigih, istiqomah dan ikhlas dalam menjalankan tugas masing-masing di PASTI. Guru-guru PASTI juga perlu menjadikan diri mereka sebagai model dan contoh yang baik kepada masyarakat kerana ia menjadi medium dakwah yang berkesan”, tambah beliau. Ustaz Nasrudin Hassan turut menaruh harapan besar kepada guru-guru PASTI agar dapat menjaga akhlak dan adab sama ada di PASTI mahupun di luar PASTI. Sebelum menamatkan ucapannya, Ustaz Nasrudin Hassan dengan penuh syahdu mendeklamasikan sajak khas untuk guru-guru PASTI di seluruh Malaysia.
Sempena Muktamar ini, Ustaz Nasrudin telah melancarkan Tabung Prihatin Guru PASTI Malaysia. Tabung ini diharapkan dapat mengumpul sumbangan dana dan derma bagi membantu guru-guru PASTI di negara ini.
Sebaik selesai majlis perasmian, perwakilan guru-guru PASTI dari seluruh Malaysia telah melangsungkan muktamar dwitahunannya. Muktamar pada kali ini telah menyaksikan perwakilan-perwakilan Majlis Guru PASTI seluruh negeri telah memilih dan memberi mandat kepada kepimpinan baru bagi sesi 2012-2014. Keputusan pemilihan telah menepati ramalan awal pelbagai pihak, iaitu ketua MGP lalu, Pn.Saadiah Abu Bakar serta saf kepimpinan lama telah diberi mandat bagi meneruskan tanggungjawab memimpin MGP Malaysia untuk dua tahun lagi.      

Ustaz Haji Nasruddin Hassan Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia menyampaikan ucapan perasmian sempena Sambutan Hari Guru PASTI Malaysia.



Ketua Pengarah Jabatan PASTI Malaysia


 Teraju utama Majlis Guru PASTI Malaysia


 Suasana muktamar yang sedang berlangsung.



No comments: