Tuesday, September 23, 2008

SUMBANGAN 'DUIT RAYA' GURU PASTI KEDAH

Kuala Kedah. 25 September-Jabatan PASTI Kedah mengucapkan jutaan terima kasih kepada Badan Perhubungan PAS Kedah yang sudi menyalurkan sumbangan duit raya kepada seluruh guru-guru PASTI Kedah seramai 485 orang.
Satu majlis ringkas telah diadakan sempena penyerahan sumbangan tersebut di Surau Tambak Bunga, Kawasan Kuala Kedah bagi Zon Utara untuk Kuala Kedah, Alor Setar, Langkawi, Jerlon, Kubang Pasu, Padang Terap, Jerai, Pendang & Pokok Sena. Sumbangan disampaikan YB. Dr. Abd. Isa Bin Ismail Speaker Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Kedah.
Bagi Zon Selatan pula bagi kawasan Padang Serai, Kulim Bandar Bharu, Baling, Sik, Sungai Petani dan Merbok, majlis penyerahan sumbangan tersebut diadakan di PASTI As-salam Taman Mutiara, Padang Serai pada Jumaat 26 September 2008. Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah Ustaz Musoddak Hj. Ahmad mewakili Perhubungan PAS Kedah sudi hadir menyerahkan sumbangan tersebut. Mewakili seluruh guru-guu PASTI lafaz Jazakallah Khairan Kathira diungkapkan bagi seluruh kepimpinan Kedah yang memahami keperluan guru sempena aidilfitri yang semakin hampir.

Monday, September 22, 2008

JOHAN PASTI 3K NEGERI KEDAH








PASTI Al-Luqman Taman Mutiara, Padang Serai adalah merupakan johan bagi pertandingan PASTI 3K bagi peringkat negeri Kedah dan calon ke peringkat kebangsaan( PASTI Malaysia ). PASTI yang menyewa 3 rumah taman ini menempatkan 150 orang lebih pelajar berumur 4,5dan 6 tahun. Sesi persekolahan dijalankan 2 sesi kerana permintaan yang tinggi dan tempat yang terhad.


Penyampaian wang tunai kepada pemenang pertandingan 3K tersebut di sampaikan dalam Majlis Tadarus MGP baru-baru ini. Johan menerima RM 500.00, naib johan PASTI Taman Pelangi, Kuala Kedah menerima RM 300.00 dan tempat ketiga menerima RM 200.00 PASTI Sg. Tengas Kulim/Bandar Bahru.

Jabatan PASTI Kedah mengucapkan tahniah kepada pemenang dan mengharapkan supaya semua pasti seluruh kedah akan turut menjayakan program ini pada tahun-tahun akan datang

Sunday, September 21, 2008

AHLI JAWATANKUASA MAJLIS GURU PASTI NEGERI KEDAH SESI 2008/2010

Pengerusi - Puan Jawariah Bt. Mohd Yakin ( Unit Penaziran )
Timbalan - Puan Mahfuzah Bt. Saipi ( Unit Peperiksaan )
Setiausaha - Puan Rosliza Bt. Rasidi ( Unit ICT )
Bendahari - Puan Khalijah Bt. Zainol ( Unit Ekonomi )
K. Penerangan - Puan Saudah Bt. Morad ( Unit Penerangan )
Ahli Jawatankuasa
Puan Rogayah Bt. Abd. Rahman
Puan Rosna Bt. Ahmad
Puan Jassalina Bt. Md. Isa
Puan Norzamalati Bt. Zakaria
Puan Nor Diana Bt. Din
Puan Siti Abadah Bt. Salleh ( Unit Kebajikan )
Puan Rossita Bt. Murad
Puan Sharifah Bt. Ishak
Puan Khalijah Bt. Hussin
Puan Nashiyah Bt. Abd. Wahab ( Unit Tarbiah )
Puan Azizah Bt. Mansor

PERJUMPAAN DENGAN KETUA DPPNK

19 Ramadhan. Ketua DPPNK telah mengadakan perjumpaan dengan Harian PASTI Kedah dan Harian MGP Kedah. Pertemuan ini adalah sebagai sesi pertemuan dan perbincangan mengenai program serta projek ekonomi PASTI Kedah.
Antara perkara yang dibincangkan adalah persiapan Kedah sebagai tuan rumah Ujibakat PASTI Malaysia pada 31 Oktober dan 1 November 2008 yang akan datang, persiapan pembukaan kedai PASTI Kedah, hutang PASTI Kedah dan kebajikan guru. Beliau juga memaklumkan bahawa perhubungan PAS Kedah bermurah hati memberikan "duit raya" kepada seluruh guru-guru PASTI Kedah. Jumlahnya akan dimaklumkan kemudian.
Pihak PASTI amat berpuas hati dengan pertemuan tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada Ketua DPPNK dan Badan Perhubungan PAS Kedah yang bermurah hati dan memahami situasi guru menjelang hari lebaran yang akan datang.

MAJLIS TADARUS AL-QURAN MGP KEDAH

17 Ramadhan Guar Chempedak. Majlis Guru PASTI Kedah telah mengadakan Majlis Tadarus Guru-guru PASTI Kedah 2008. Program ini merupakan acara tahunan MGPK. Program tahun ini diadakan di Sekolah Integrasi Faizin ( SAIF ) Guar Chempedak. Kehadiran guru amatlah menggalakkan dengan kehadiran hampir 250 orang berbanding 150 orang tahun lepas.
Majlis tersebut turut diserikan dengan tazkirah daripada Pengarah PASTI Kedah sendiri. Majlis yang bermula jam 9.30 pg tersebut diakhiri jam 12.30 tengahari. Pihak PASTI Kedah mengucapkan ribuan terima kasih kepada guru besar SAIF yang sudi membenarkan pihak MGPK menggunakan surau sekolah tersebut.

Sunday, September 14, 2008

SUMBANGAN HARI RAYA 1429H

PASTI Negeri Kedah telah melancarkan Kutipan Dana Bangunan PASTI Pusat serta Sumbangan "Duit Raya" Guru PASTI seluruh Kedah. Sumbangan tersebut diedarkan melalui surat kepada waris Pasti seluruh Kedah bermula seminggu sebelum Ramadhan yang lalu. Sumbangan boleh dibuat melalui guru-guru seluruh cawangan. Wang kutipan akan dikumpul di peringkat kawasan, sebahagiannya akan dihantar kepada PASTI pusat dan sebahagiannya akan dijadikan "duit raya" kepada guru-guru. Majlis penyerahan duit raya tersebut akan dilakukan di kawasan masing-masing.
Terlebih dahulu pihak PASTI negeri mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh waris yang menderma, dan kepada yang masih ingin menderma bolah dilakukan kepada guru-guru di cawangan.
" Sesungguhnya segala amalan kebajikan yang dilakukan di Bulan Ramadhan yang mulia ini akan digandakan oleh Allah" Amin.

Sekian,

KURSUS DATABASE PASTI

13.09.2008 Simpang Empat, Kedah - PASTI Kedah telah berjaya mengadakan Kursus Database PASTI kepada pengerusi & setiausaha Lajnah PASTI Kawasan-kawasan seluruh Kedah. Turut hadir adalah pasti-pasti kawasan bagi negeri Pulau Pinang. Kursus tersebut diadakan di Kompleks PAS Kedah Km 13 Kota Sarang Semut.
Taklimat tersebut disampaikan oleh Sdr. Shahori Md Esa Pengarah ICT Pasti Pusat. Seluruh kawasan hadir kecuali pendang, kulim, Jerlon & Merbok. Majlis ini turut di hadiri oleh Ust. Mohd Azam Pengarah PASTI Kedah,Sdr. Sazali SU PASTI, Pengerusi, Naib Pengerusi & Setiausaha MGP Kedah.Diharapkan kepada seluruh kawasan di kedah dapat melengkapkan maklumat PASTI seluruh kawasan sebelum 1 November 2008. Pihak PASTI negeri juga mengucapkan terima kasih kepada Pengarah ICT Pasti Pusat, sahabat-sahabat dari Penang da kawasan-kawasan.

Sunday, July 20, 2008

SELAMAT DATANG & BERMUKTAMAR

PASTI NEGERI KEDAH MENGALU-ALUKAN KEDATANGAN GURU DARIPADA SELURUH MALAYSIA MENGHADIRI IJTIMAK & MUKTAMAR GURU PASTI MALAYSIA 2008 PADA 25 DAN 26 JULAI 2008 DI LANGKAWI PERMATA KEDAH

Daripada
Seluruh Ahli Lembaga Pengarah
Jabatan PASTI Kedah.

AMBILLAH PENGAJARAN & IKTIBAR

BismilLah,walhamdulilLah,wassolatu wassalamu ‘ala Sayyidina RasulilLah,wa ‘ala alihi wa ashabihi waman tabi’ahum biihsanin ila yaumiddin, wa ba’du ;SALAM ISLAH,Kedatangan bulan Rejab yang mulia adalah hadiah dari Allah SWT untuk para hambaNya yang saleh.

Datangnya Rejab menandakan bahawa Ramadhan al Mubarak telah hampir dan dekat. Masa untuk kita mulakan beberapa latihan kecil sebelum kita melangkah masuk ke dalam ‘madrasah’ Allah yang agung iaitu Ramadhan yang bertujuan melahirkan insan yang bertaqwa kepada Allah SWT. Dengan kehadiran Rejab juga kita diperingatkan dengan peristiwa besar yang berlaku ke atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW iaitu peristiwa Isra’ dan Mi’raj.

Firman Allah SWT :“ Maha Suci Allah, yang Telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang Telah kami berkahi sekelilingnya[847] agar kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya dia adalah Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.” Surah Al Isra’ : 1[847]

Maksudnya: Al Masjidil Aqsha dan daerah-daerah sekitarnya dapat berkat dari Allah dengan diturunkan nabi-nabi di negeri itu dan kesuburan tanahnya.

PENGAJARAN & IKTIBAR

:Pertama : Terdapat satu alam yang tidak dapat dicapai dengan deria dan pancaindera manusia. Di sinilah letaknya ujian terhadap keimanan. Samada mahu percaya atau tidak kepada apa yang dikhabarkan oleh Rasululullah SAW. Bukan semua ajaran Islam itu bersifat dapat dilihat dan dicapai dengan penglihatan dan akal. Terdapat banyak perkara dalam Islam yang memerlukan iman serta yakin percaya terhadap apa yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan apa yang dikhabarkan oleh Baginda SAW.

Kedua : Kelemahan ilmu manusia berbanding keluasan ilmu Allah SWT. Dalam kita menyangkan bahawa ilmu manusia sangat hebat hingga mampu melakukan banyak perkara, mampu mencapai banyak perkara, rupanya ilmu manusia sangat sedikit jika mahu dibandingkan dengan keluasan ilmu Allah SWT. Rahsia ala mini tidak pernah habis dikaji oleh manusia sedangkan manusia kadang-kadang kehabisan akal untuk terus menyelami rahsia ciptaan dan kejadian Allah SWT yang agung dan hebat. Benarlah apa yang Allah SWT tegkan bahawa apa yang diberikan pada manusia dari ilmu itu hanya sedikit.Silalah rujuk episode terakhir dari Surah Al Kahfi untuk mengetahui perbandingan ini.

Ketiga : Wujudnya pembalasan yang adil. Rasulullah SAW diperlihatkan syurga dan neraka oleh Allah SWT dalam perjalanan Isra’ & Mi’raj. Baginda melihat keseronokan dan kenikmatan yang diperolehi oleh mukmin yang taat di dalam syurga dan melihat penyiksaan dan penderitaan kafir dan ahli maksiat di dalam neraka. Dengan ini kita dididik supaya senantiasa berhati-hati dalam tindakan dan perbuatan supaya dibalas dengan syurga kerana taqwa kita pada Allah dan terselamat dari neraka Allah kerana sikap hati-hati tersebut.

Keempat : Kebenaran orang-orang yang mempertahankan aqidah. Alangkah hebatnya golongan ini!. Perjuangan dan pengorbanan mereka tidak sia-sia bahkan mendapat pengiktirafan agung dari Allah SWT. Rasulullah telah menghirup keharuman ruh keluarga Yaasir yang mati kerana mempertahankan aqidah. Inilah berita baik bagi pendokong perjuangan aqidah sepanjang zaman. Berita gembira bagi pejuang agama sepanjang zaman bahawa apa yang mereka lakukan dan mereka perjuangkan tidak sia-sia!.

Diambil daripada laman blog Syeukh Yusaini Yahya ( perlis )

Monday, July 7, 2008

IBU BAPA SEBAGAI RAKAN PENDIDIKAN PASTI


Kertas Kerja ini diterbitkan oleh Lajnah PASTI Hulu Terengganu



بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على المبعوث رحمة للعالمين وعلى آله وصحبه أحمعين

IBU BAPA SEBAGAI RAKAN PENDIDIKAN PASTI


1. IBUBAPA MITHALI MENURUT ISLAM

1.1 Naluri Ingin dan Kasihkan Anak-Anak.

Kasih sayang yang mendalam terhadap anak-anak adalah naluri dan fitrah manusiawi. Naluri dan fitrah ini sebenarnya sangat murni. Anak-anak adalah cahaya rumahtangga, kehadirannya adalah penyejuk mata dan memilikinya bak permata berharga. Ia adalah anugerah Allah paling istimewa kepada pasangan suami isteri. Cuma seperti naluri dan fitrah yang lain, jika tidak disinari pancaran cahaya al Quran dan terdidik dengan ajaran Islam, pasti ia akan pudar dan tercemar kerana syaitan akan mengambil kesempatan menyelewengkan fitrah yang murni. Akhirnya, Ibubapa yang sepatutnya menumpahkan kasih sayang dan menjamin kesejahteraan anak-anak, tiba-tiba menjadi punca kepada malapetaka dan bencana kepada masa depan mereka.

عن أبي هريرة قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصرانه أو يمجسانه . رواه البخاري ومسلم
Bermaksud : Dari Abu Hurairah r.a sabda Rasulullah saw : Setiap bayi yang lahir, kelahirannya adalah mengikut fitrah ( naluri yang suci murni iaitu Islam ). Tiba-tiba Kedua ibubapanya mengubahnya menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi.[1]

وعن عياض بن حماد قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم قال الله عز وجل إني خلقت عبادي حنفاء فجاءتهم الشياطين فاجتالتهم عن دينهم . رواه مسلم .
Bermaksud : Dari ‘Iyyaadh ibn Hammad r.a pula, sabda Rasulullah saw : Allah berfirman : Sesungguhnya aku telah mencipta hamba-hambaku suci bersih ( muslim ) tiba-tiba datanglah syaitan-syaitan [2] lalu menyesatkan mereka dari agama mereka.

1.2 Bapa mithali.

Al Quran memaparkan kepada kita kisah tauladan manusia pilihannya bagaimana mereka menghargai nikmat mendapat anak sebagai anugerah Allah. Para nabi-nabi a.s adalah bapa-bapa mithali sebagaimana mereka juga suami-suami mithali. Firman Allah swt :
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلاً مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً . سورة الرعد : 38
Menjadi sunah nabi-nabi berkahwin dan membina kehidupan keluarga Islam. Sabda Rasulullah saw :
قال رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم " أربع من سنن المرسلين: التعطر والنكاح والسواك والحناء " رواه أحمد
Bermaksud : “ Empat perkara menjadi sunnah ( cara hidup ) para rasul ; memakai bauan wangi, berkahwin, menggosok gigi dan memakai inai “

Al Quran mencerita kisah Nabi Ibrahim as hanya menjadi bapa ketika tuanya. Nabi Ibrahim a.s berhijrah meninggalkan ibubapa dan kaum keluarganya, kampung halaman dan negeri asalnya kerana kekufuran mereka setelah lama berda’wah mengajak mereka ke jalan Allah. Baginda a.s kesunyian kerana tidak mempunyai anak dan bimbang pula tiada pewaris kepada perjuangannya. Lalu memohon dari Allah agar dikurniakan anak yang soleh yang boleh mewarisi agama dan perjuangannya. Allah mengurniakan kepada baginda ketika tuanya Ishak dan Ismail a.s.al Quran menceritakan ;
وَقَالَ إِنِّي ذَاهِبٌ إِلَى رَبِّي سَيَهْدِينِ ( 99 ) رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ ( 100 ) فَبَشَّرْنَاهُ بِغُلَامٍ حَلِيمٍ ( 101 ) فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِن شَاء اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ ( 102 ) سورة الصافات
Demikianlah Allah mengurniakan kepada baginda anak yang benar-benar mewarisi agama, keyakinan dan perjuangannya dengan penuh taat kepada perintah Allah hingga sanggup menjadi korban sembelihan kerana menunaikan perintah Allah.

Lebih dari itu, Nabi Ibrahim memohon supaya semua zuriat keturunannya menjadi pemimpin orang beriman.
وَإِذِ ابْتَلَى إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي قَالَ لاَ يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ ( 124 ) البقرة .
Ketika meninggalkan isteri dan anaknya di wadi kontang ( Mekah ), baginda berdoa semoga zuriat baginda dipelihara Allah agar mereka berbakti kepada Allah dan dimurahkan rezki.

رَّبَّنَا إِنِّي أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُواْ الصَّلاَةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِّنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُم مِّنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ ( 37 ) رَبَّنَا إِنَّكَ تَعْلَمُ مَا نُخْفِي وَمَا نُعْلِنُ وَمَا يَخْفَى عَلَى اللّهِ مِن شَيْءٍ فَي الأَرْضِ وَلاَ فِي السَّمَاء ( 38 ) الْحَمْدُ لِلّهِ الَّذِي وَهَبَ لِي عَلَى الْكِبَرِ إِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَقَ إِنَّ رَبِّي لَسَمِيعُ الدُّعَاء (39 ) رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاَةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاء ( 40 ) سورة إبراهيم

Demikian juga Nabi Zakaria a.s yang mahukan anak untuk menghidupkan suasana Islam dan ketaatan di dalam keluarganya, yang hidup melakukan kebajikan dan mendekatkan diri kepada Allah dengan khusyu’nya. Allah swt mengurniakan kepadanya Yahya, seorang sangat taat berbakti.
وَزَكَرِيَّا إِذْ نَادَى رَبَّهُ رَبِّ لَا تَذَرْنِي فَرْدًا وَأَنتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ (89) فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَوَهَبْنَا لَهُ يَحْيَى وَأَصْلَحْنَا لَهُ زَوْجَهُ إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ (90) سورة الأنبياء

1.3 Ibu Mithali.

Ibu tempat bergantungnya kasih sayang anak dan manusia yang paling rapat dengan si anak. Justeru, kefahaman dan kesedaran ibu terhadap peranan dan tanggungjawabnya dalam melahirkan generasi islam amatlah penting.[3]
Penyair Ahmad Syauqi menyebut ;
اَلأُمُّ مَدْرَسَةٌ إِنْ أَعْدَدْتَهَا * أَعْدَدْتَ شَعْبًا طَيِّبَ الأَعْرَاقِ
“Ibu sebenarnya institusi persekolahan tersendiri, jika engkau berjaya mempersiapkanya, pasti engkau berjaya mempersiapkan suatu bangsa yang tinggi budi pekertinya .”

Perhatikan al Quran al Karim memaparkan bagaimana cita-cita dan kehendak seorang ibu yang solehah.
إِذْ قَالَتِ امْرَأَةُ عِمْرَانَ رَبِّ إِنِّي نَذَرْتُ لَكَ مَا فِي بَطْنِي مُحَرَّرًا فَتَقَبَّلْ مِنِّي إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (35) فَلَمَّا وَضَعَتْهَا قَالَتْ رَبِّ إِنِّي وَضَعْتُهَا أُنثَى وَاللّهُ أَعْلَمُ بِمَا وَضَعَتْ وَلَيْسَ الذَّكَرُ كَالأُنثَى وَإِنِّي سَمَّيْتُهَا مَرْيَمَ وِإِنِّي أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ (36 ) سورة آل عمران .
Lihatlah bagaimana Isteri Imran ingin melihat anak di dalam kandungannya lahir sebagai seorang yang bebas berkhidmat kepada agama Allah. Alangkah dukacitanya dia apabila melahirkan anak perempuan kerana sangkaannya anak perempuan tidak sebebas anak lelaki dapat berkhidmat kepada agama. Sebaliknya, Allah memaqbulkan harapannya dengan menjadikan anak perempuannya, Maryam memberi sumbangan yang paling berharga apabila melahirkan Isa a.s dengan izin Allah.

Seorang Ibu solehah adalah seperti Asma’ binti Abu Bakar yang meniupkan semangat juang dan jihad kepada anaknya, Abdullah bin al Zubair yang menentang kerajaan zalim dan fasiq ketika itu sehingga dia terbunuh. Asma’ berkata : Matilah sebagai seorang yang mulia, atau hiduplah sebagai seorang yang perkasa. Jangan kamu rela hidup dalam kehinaan kerana mati itu suatu yang pasti.

Seorang ibu solehah adalah seperti Khunsaa’ yang mempunyai tiga anak lelaki, satu demi satu gugur syahid di medan jihad. Semasa anak pertama dan keduanya syahid dia ketawa. Namun apabila anak ketiganya syahid dia menangis. Ketika ditanya sebabnya, beliau menjawab : Aku menangis bukan kerana sedih dengan kematian mereka, sebaliknya kerana tiada lagi anak untuk ku hantar ke medan jihad.
[1] Yahudi , Nasrani dan majusi sebenarnya mewakili semua cara hidup yang menyeleweng dari Islam sebenar. Yahudi mereka yang mendapat pentunjuk kitab Allah tetapi kerana ego dan sombong lalu mereka mengingkarinya. Nasrani mereka yang mendapat petunjuk tetapi melampau dalam mengamalkannya kerana jahil. Majusi pula mereka yang tidak mendapat petunjuk dan menyembah kebendaan.
[2] Syaitan dua jenis ; Jin dan manusia. Justeru itu, ibubapa, jiran tetangga, sahabat handai, masyarakat dan kerajaan yang menjadi persekitaran yang mempengaruhi kehidupan manusia itu, semuanya boleh menjadi syaitan jika melakukan kerja menyesat dan melalaikan manusia dari agama Allah.
[3] Dirujuk Muslimat Pembangun Umat : Tuan Guru Hj Harun Taib m.s 46

Thursday, July 3, 2008

PESTA SUKAN PASTI MALAYSIA



Tahniah kepada pasukan Bola Sepak PASTI Kedah kerana telah menjadi naib johan Pesta Bola Sepak & Bola Jaring PASTI Malaysia di Kelantan pada 28 JUN 2008 ( Sabtu ) yang lalu.

Kontijen Kedah yang di ketuai oleh Sdr. Sazali Md. Nor, setiausaha PASTI Negeri Kedah dengan beberapa Ahli Lembaga Pengarah PASTI Kedah, pasukan bola sepak dan bola jaring, guru-guru dan para waris seramai 80 orang telah berjaya mengikuti program tersebut pada 27 dan 28 JUN yang lalu.

Program yang dimulai dengan pendaftaran peserta pada pagi Jumaat dan Sambutan Hari Guru PASTI Malaysia pada sebelah malamnya di Hotel Redal Kota Bharu. Acara sukan dimulakan pada sebelah pagi Sabtu dan tamat pada jam 6.00 petang. Tahniah kepada PASTI Kelantan yang telah berjaya melaksanakan program tersebut.

Sunday, May 18, 2008

Pasti Kehilangan Seorang Guru Berpengalaman

Sungai Petani : 17 Mei – Sukan Pasti Kawasan Merbok yang diadakan di Padang Awam Taman Peruda di sini gempar apabila seorang guru Pasti berusia 48 tahun tiba-tiba rebah dan meninggal dunia. Ustazah Azizah Shaari yang telah berkhidmat di Pasti Pengkalan Iman Merbok sejak lebih 18 tahun menghembuskan nafas terakahir di pangkuan rakan-rakan guru yang membantu Allahyarhamah yang sebelumnya rebah di tepi padang setelah memberi arahan kepada anak-anak muridnya bermain dalam perlawanan bolasepak sempena Sukan Pasti Kawasan Merbok.

Menurut suaminya seorang nalayan di Tanjung Dawai yang ketika kejadian berada di Langkawi atas urusan pembelian bot, Allahyarhamah isterinya memang mengidapi penyakit paru-paru berair dan lelah. Allahyarham meninggalkan suami dan lima orang anak yang berusia antara 16 dan 28 tahun.

Pemergian beliau diratapi oleh seluruh warga Pasti Merbok yang kini kehilangan antara guru yang paling berpengalaman. Sebelum ini Allahyarham menjadi Pengerusi Majlis Guru Pasti Merbok dan Ahli Jawatankuasa Majlis Guru Pasti Negeri Kedah selama beberapa tahun.

Menurut Pengerusi Pasti Kawasan Merbok, “inilah Tokoh Guru Pasti kami yang berkerja untuk jamaah hingga ke akhir hayat..”.
“Arwah merupakan contoh amilat yang sukar dicari ganti dan beliau pergi ketika sedang berada di medan perjuangan.” Ujar beliau lagi selepas ucapan penutup Sukan Pasti Merbok.

Tuesday, February 5, 2008

Hati Seorang Mukmin

Hati adalah unsur terpenting dalam hakikat kejadian manusia. Hati menjadi penentu pembentukan sikap manusia samada positif ataupun negatif . Maka hati dianggap sebagai raja bagi memerintah diri seseorang. Islam menuntut umatnya membentuk hati yang suci, baik dan bersih21 serta menjauhi sifat-sifat tercela.

Antara sifat-sifat hati mukmin ialah;

1. Hatinya gerun dan gementar apabila teringat kepada Allah. Terasa betapa besarnya kekuasaan Allah, yang boleh membuat apa saja terhadap dirinya.

2. Hati orang mukmin sentiasa terkenang Allah kerana dapat merasakan bahawa setiap detik dirinya menerima nikmat daripada Allah berupa ilmu,harta, anak isteri dan sebagainya.

3. Hati orang mukmin sabar, tenang dan redha atas segala ujian Allah. Dia merasakan bahawa ujian itu adalah untuk menghapuskan dosanya atau meningkatkan darjat ketaqwaan kepada Allah.

4. Hatinya sentiasa merasai dirinya diawasi Allah selalu. Allah akan melihat dirinya, mendengar dan mengetahui segala tindakan atau isi hatinya.

5. Hatinya sangat tawadhuk dan khuduk pada Allah, yakni merendah diri kepada Allah kerana dia sedar bahawa dirinya dijadikan oleh Allah.

6. Hatinya sentiasa rasa syukur kepada Allah apabila mendapat nikmat,kejayaan dan kesenangan hidup kerana percaya bahawa semua itu adalah pemberian Allah. Hatinya rasa takut.

7. Mukmin akan gementar hatinya apabila mendengar ayat-ayat menceritakan tentang azab kiamat serta mengalir air mata dan menghasilkan pertumbuhan dan pertambahan iman.

8. Hati mukmin tidak dikotori oleh penyakit hati seperti hasad dengki, sombong, ego dan hatinya lebih bersifat kekitaan.

Untuk menjadikan hati kita sebagai hati mukmin dan diri kita sebagai jasad mukmin, marilah sama-sama kita meneliti dan menilai ciri-ciri tersebut. Apakah hati kita mempunyai ciri-ciri itu?. Fikir dan berusahalah ke arah jati diri dan mukmin hati dalam kehidupan ini. Kita masih tidak terlambat kerana pintu taubat sentiasa terbuka luas untuk hamba Allah. Hati yang mukmin boleh membentuk jasad yang soleh..

Tuesday, January 22, 2008

Perutusan Khas daripada Pengarah PASTI Negeri Kedah


Masyarakat yang berilmu meletakkan guru sebagai insan yang mulia dan berjasa kerana merekalah yang bertanggungjawab mendidik manusia bagi melahirkan generasi muslim yang beriman dan beramal soleh serta sanggup melaksanakan tugas terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Guru dalam sejarah hidupnya sentiasa menghargai kejayaan anak didiknya serta sanggup bekorban dan melakukan apa sahaja untuk manfaat dan kesejahteraan orang lain.
Firman Allah taala di dalam Al-Quran :
Maksudnya:“Supaya Allah taala meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat”. (Surah Al-Mujaadalah: Ayat 11)
Peranan guru adalah luas. Guru adalah pendidik, pembimbing dan pendorong. Dia juga penyampai ilmu, penggerak dan penasihat. Ini bermaksud, guru atau pendidik mempunyai tugas dan tanggungjawab yang mencabar.


Dalam Islam terdapat 4 martabat guru atau pendidik iaitu:
1- Mudarris : yang bermaksud guru yang hanya mengajar pelajaran kemahiran mereka sahaja.
2- Mu’allim : yang bermaksud guru yang tidak hanya mengajar mata pelajaran mereka tetapi turut menyampaikan ilmu-ilmu lain.
3- Mursyid : bermaksud guru yang menyampaikan ilmu dan menunjukkan jalan yang benar.
4- Murabbi : yang bermaksud guru yang mendidik, memelihara, mengasuh, mentarbiyyah anak didik mereka menjadi manusia yang berilmu, bertaqwa dan beramal soleh.

Sesungguhnya peranan pendidik bukanlah terhad kepada kaum guru sahaja tetapi juga kepada ibubapa, tok guru, tok imam, tok bilal dan siapa sahaja yang mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran, mereka adalah pendidik. Ini bermakna kita semua adalah pendidik.

Peranan guru dalam mendidik masyarakat amatlah besar dan luas. Antaranya ialah:
1- Menyampai aqidah dan keimanan yang tulen untuk menghidupkan hati dan menghubungkan manusia dengan Allah, meyakinkan pertemuan dengan Allah, mengharapkan rahmatNya dan takutkan siksaanNya.

2- Menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran meliputi fardhu ain dan fardhu kifayah yang menjadi asas ubudiyah (pengabdian diri kepada Allah), hubungan harmoni sesama manusia dan alam.

3- Membentuk akhlak atau peribadi mulia supaya menjadi contoh tauladan kepada orang lain.

Sehubungan dengan itu, marilah kita sama-sama menghayati nasihat Luqman Al-Hakim sebagaimana yang digambarkan oleh Al-Quran:

Maksudnya:“Wahai anakku! Dirikanlah Solat (sembahyang), dan suruhlah berbuat baik serta cegahlah kemungkaran dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpa kamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya”. (Surah Luqman : Ayat 17)

Pada hari ini ada orang menganggap tugas mendidik tiada kaitan dengan peranan dan tanggungjawab kita. Jika tanggapan ini berterusan, kita bimbang penyakit sosial yang melanda remaja Islam hari ini semakin parah.

Sabda Rasulullah S.A.W
Maksudnya:“Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu ditanya berkaitan dengan tanggungjawabnya”. (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Untuk mengelakkan gejala sosial daripada merebak dan terus melanda masyarakat kita, maka adalah menjadi tugas dan tanggungjawab ibubapa dan mereka yang bertanggungjawab di kampung atau di bandar khususnya Wakil Rakyat, Pemerintah dan Kerajaan sama-sama mengembeleng tenaga dengan memberi perhatian utama terhadap pendidikan anak-anak dan para remaja. Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulum Ad-Diin menjelaskan supaya kita mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak, dengan mengajar Al-Quran, Hadis-hadis Nabi Sollallahu `alaihi wasallam, sejarah para Sahabat RA dan para Solehin, hukum-hukum agama dan termasuk juga pendidikan jasmani.

Antara perkara asas yang mesti diberi perhatian dan penekanan ialah:
1- Mendidik anak dan remaja menunaikan solat secara berterusan. Sabda Rasulullah S.A.W:
Maksudnya:
“ Suruhlah anak-anak kamu mengerjakan solat apabila mereka mencapai umur 7 tahun dan pukullah mereka apabila mereka mencapai umur 10 tahun serta pisahkan di antara mereka tempat tidur ”.( Hadis Riwayat Abu Daud dan Al-Hakim)
Berkata Sayyidina Ali Karamallahu Wajhah:
Maksudnya:
“Ajarlah anak-anak kamu dan ahli rumahtanggamu kebaikan dan perbaikilah adab sopan mereka ”.

2- Mempamerkan tingkah laku dan tauladan yang baik.
Firman Allah taala:
Maksudnya:
“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang terbaik iaitu bagi sesiapa yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah taala dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (di dalam masa Sedih dan Senang)”. (Surah Al-Ahzab:Ayat 21)
Marilah kita sama-sama berusaha menjayakan matlamat pendidikan untuk melahirkan pelajar dan masyarakat yang beriman, berilmu dan berketerampilan, yang dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Masyarakat yang ingin kita bina ialah masyarakat yang berwawasan, bercita-cita luhur dan murni, bekerjasama, adil dan bertanggungjawab sesama insan tanpa mengira bangsa, budaya dan keturunan.

Bagi mencapai matlamat murni ini, marilah kita semua bersatu dan mengambil tanggungjawab sebagai guru bagi menyokong setiap aktiviti dan program pendidikan.
Apabila ini telah dilaksanakan bermakna kita telah sama-sama menyokong serta memartabatkan profesyen keguruan, sekaligus melaksanakan konsep amar ma’ruf dan nahi munkar.

Allahyarham Dato Usman Awang pernah menulis sebuah sajak bertajuk Guru Oh Guru pada tahun 1979 yang didedikasikan kepada guru-guru yang terus menabur bakti dan jasa. Diantaranya ;
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Akhirnya, saya ingin merakamkan ucapan SELAMAT BERTUGAS kepada semua guru-guru PASTI di seluruh Negeri Kedah. Jasa kalian terlalu besar untuk dinilai dengan wang ringgit. Semoga segala pengorbanan yang dicurahkan akan dinilai sebagai amalan yang mulia di sisiNya.

Pengorbanan guru-guru PASTI adalah pengorbanan kelas pertama

Terima Kasih Cikgu

Selamat Datang

SELAMAT DATANG KE BLOG PASTI NEGERI KEDAH