Tuesday, May 29, 2012

SAMBUTAN HARI GURU PASTI MALAYSIA 2012


Guru Memacu Kemenangan Ummah


CAMERON HIGHLAND: PASTI Malaysia telah berjaya mengadakan Majlis Sambutan Hari Guru PASTI Peringkat Kebangsaan Tahun 2012 di Century Pines Resort, Cameron Highland pada 28 Mei baru-baru ini. Sambutan Hari Guru PASTI Malaysia yang dirasmikan oleh Dato’ Ust.Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Malaysia itu turut dihadiri oleh Nasrudin Hassan At-Tantawi, Ketua Pemuda PAS Malaysia dan Ust. Shahril Azman, Ketua Pemuda PAS Pahang serta dihadiri lebih 500 guru PASTI dari seluruh Malaysia.
Sewaktu berucap merasmikan Sambutan Hari Guru PASTI Malaysia ini, Tuan Ibrahim melahirkan rasa syukur dan amat bangga dengan pencapaian PASTI. Beliau begitu terharu atas penat-lelah dan pengorbanan besar guru-guru PASTI dalam menjadi tenaga pengajar di PASTI-PASTI. Beliau mengingatkan guru-guru PASTI bahawa segala penat-lelah dan titik peluh mereka dalam mengasuh dan membimbing murid-murid menjadi insan yang soleh itu amat besar pahalanya.” Jasa guru-guru akan dikenang dan disebut-sebut oleh manusia hingga mati, bahkan akan terus dikenang selepas matinya’, tambah beliau. Tuan Ibrahim juga mengharapkan agar anak-anak yang dididik dan diasuh di PASTI-PASTI akan menjadi pejuang-pejuang dan pendokong-pendokong Islam di negara ini.
Dalam ucapan aluan, Hassan Aladi Ahmad, Ketua Pengarah PASTI Malaysia merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada semua guru PASTI. Beliau menegaskan bahawa peranan guru PASTI sangat hebat dan sangat mulia. Beliau mengharapkan guru-guru PASTI dapat menyerlahkan kehebatan murid-murid dan PASTI masing-masing agar dapat dicontohi oleh masyarakat. Beliau juga mahukan guru-guru PASTI sentiasa mesra, senyum dan sopan dalam menyantuni murid-murid dan ibu bapa. Hassan turut mengharapkan agar guru-guru PASTI menjadi insan yang terkenal pada kaca mata penduduk di langit atas pengorbanan, komitmen dan kesungguhan mereka menjalankan tugas di PASTI. Hassan juga menegaskan tentang hala tuju baru PASTI dan usaha-usaha ‘rebranding’ PASTI yang sedang dijalankan.
Sambutan Hari Guru PASTI Malaysia kali ini menyaksikan Pn.Norhayati Bt. Abd Razak dari Selangor  telah diisytiharkan sebagai Tokoh Guru PASTI Malaysia 2012. Turut menerima anugerah ialah Pn.Fadhilah Bt. Hamid dari Pahang sebagai penerima Anugerah Tokoh Khadijah. Selain itu, Pn.Nora Bt. Abd Jalil dari Terengganu dan Pn.Faridah Salamon dari Perak  telah dianugerahkan sebagai Guru PASTI Cemerlang Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2012. Semua guru cemerlang PASTI peringkat negeri dan guru yang paling lama berkhidmat turut dikurniakan anugerah dalam majlis itu.    


Ketibaan Dato’ Tuan Ibrahim diiring masuk oleh Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Hj Hasan Hj Ahmad



Tokoh Guru PASTI Malaysia 2012, Puan Norhayati Abd Razak dari Selangor diapit oleh Guru Cemerlang PASTI Malaysia, Puan Nora Abd Jalil dari Terengganu dan Puan Faridah Salamon dari Perak.




Setiausaha PASTI Malaysia bersama barisan ALP PASTI Malaysia dan tetamu-tetamu.

No comments: