Wednesday, May 30, 2012

KONVOKESYEN PERGURUAN PASTI MALAYSIA 2012 Graduan Guru PASTI Hebat dan Terlatih


CAMERON HIGHLAND: PASTI Malaysia telah melangsungkan Majlis Konvokesyen Perguruan PASTI kali ke-7 di Century Pines Resort, Cameron Highland pada 29 Mei baru-baru ini dengan jayanya. Majlis konvokesyen ini telah dirasmikan oleh Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS. Seramai 353 guru telah dikurniakan sijil perguruan masing-masing selepas mereka berjaya menamatkan proses latihan perguruan yang ditetapkan.
Sewaktu berucap merasmikan Konvokesyen Perguruan PASTI Malaysia kali ke-7 ini, Salahuddin merakamkan ucapan tahniah kepada para guru PASTI yang berjaya menamatkan latihan masing-masing. Beliau juga mengharapkan mereka akan menjadi guru PASTI yang hebat serta sentiasa bersemangat untuk mendidik murid-murid di PASTI. Beliau turut melahirkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian PASTI, khususnya usaha gigih dalam melahirkan guru-guru yang terlatih. Tegasnya, murid-murid yang hebat lahir daripada guru-guru yang hebat. PASTI telah menjadi produk PAS yang sangat berjaya. Justeru, beliau amat mengharapkan agar PASTI terus melakukan usaha penambahbaikan agar PASTI sentiasa berada di hadapan dalam bidang pendidikan prasekolah di negara ini. “Saya sangat optimis bahawa apabila Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih Putrajaya, kita akan sama-sama berusaha untuk menubuhkan Universiti PASTI Malaysia”, tambah beliau.
Dalam pada itu, Hassan Ahmad, Ketua Pengarah PASTI Malaysia juga merakamkan ucapan tahniah kepada semua graduan guru PASTI yang berjaya menamatkan proses latihan masing-masing. Tambah beliau, kumpulan guru yang dikurniakan sijil perguruan dalam konvokesyen ini merupakan kumpulan guru pertama yang mengikuti sukatan baru latihan perguruan PASTI yang lebih standard. Kebanyakan mereka telah mendapat markah kelulusan yang tinggi, khususnya dalam siri latihan praktikal keguruan dan peperiksaan akhir perguruan PASTI. “Walaupun PASTI tiada kampus latihan, namun guru-guru PASTI telah berjaya dilatih secara professional berdasarkan skema standard yang ditetapkan’, tambah beliau. Beliau juga menegaskan bahawa semua guru PASTI sedia ada di seluruh Malaysia akan terus dilatih dengan kurikulum latihan perguruan yang komprehensif.  
Sempena Majlis Konvokesyen Perguruan PASTI kali ke-7 ini, Pn.Siti Aminah Bt.Nurhaizan dari Perak telah dikurniakan Anugerah Presiden kerana berjaya menjadi Guru Pelatih PASTI Terbaik keseluruhan. Manakala Pn.Zaviah Bt.Mamat pula telah dikurniakan Anugerah Ketua Pengarah kerana mendapat keputusan tertinggi dalam peperiksaan akhir guru pelatih PASTI. Menurut Pengarah Bahagian Latihan Guru PASTI Malaysia, Jaafar Khalid, daripada jumlah 353 graduan guru PASTI tersebut, 29 orang guru layak mendapat sijil kelas pertama, 124 guru layak kelas kepujian tinggi (Atas), 142 guru kelas kepujian tinggi dan 58 guru pula kelas kepujian. Selepas majlis konvokesyen tersebut tamat, Salahuddin Ayub bersempatan melihat dokumen latihan guru dan hasil-hasil tugasan ilmiah guru pelatih yang dipamerkan. 

 YB Salahuddin Ayub menyampaikan ucapan perasmian Istiadat Konvokesyen.

 Sebahagian peserta konvokesyen.

No comments: