Hati adalah unsur terpenting dalam hakikat kejadian manusia. Hati menjadi penentu pembentukan sikap manusia samada positif ataupun negatif . Maka hati dianggap sebagai raja bagi memerintah diri seseorang. Islam menuntut umatnya membentuk hati yang suci, baik dan bersih21 serta menjauhi sifat-sifat tercela.
Antara sifat-sifat hati mukmin ialah;
1. Hatinya gerun dan gementar apabila teringat kepada Allah. Terasa betapa besarnya kekuasaan Allah, yang boleh membuat apa saja terhadap dirinya.
2. Hati orang mukmin sentiasa terkenang Allah kerana dapat merasakan bahawa setiap detik dirinya menerima nikmat daripada Allah berupa ilmu,harta, anak isteri dan sebagainya.
3. Hati orang mukmin sabar, tenang dan redha atas segala ujian Allah. Dia merasakan bahawa ujian itu adalah untuk menghapuskan dosanya atau meningkatkan darjat ketaqwaan kepada Allah.
4. Hatinya sentiasa merasai dirinya diawasi Allah selalu. Allah akan melihat dirinya, mendengar dan mengetahui segala tindakan atau isi hatinya.
5. Hatinya sangat tawadhuk dan khuduk pada Allah, yakni merendah diri kepada Allah kerana dia sedar bahawa dirinya dijadikan oleh Allah.
6. Hatinya sentiasa rasa syukur kepada Allah apabila mendapat nikmat,kejayaan dan kesenangan hidup kerana percaya bahawa semua itu adalah pemberian Allah. Hatinya rasa takut.
7. Mukmin akan gementar hatinya apabila mendengar ayat-ayat menceritakan tentang azab kiamat serta mengalir air mata dan menghasilkan pertumbuhan dan pertambahan iman.
8. Hati mukmin tidak dikotori oleh penyakit hati seperti hasad dengki, sombong, ego dan hatinya lebih bersifat kekitaan.
Untuk menjadikan hati kita sebagai hati mukmin dan diri kita sebagai jasad mukmin, marilah sama-sama kita meneliti dan menilai ciri-ciri tersebut. Apakah hati kita mempunyai ciri-ciri itu?. Fikir dan berusahalah ke arah jati diri dan mukmin hati dalam kehidupan ini. Kita masih tidak terlambat kerana pintu taubat sentiasa terbuka luas untuk hamba Allah. Hati yang mukmin boleh membentuk jasad yang soleh..